Followers

Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Wednesday, April 1, 2009

OBSESI : Siri Akhir

Rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. Tiba-tiba ingatanku beralih kepada kejadian yang berlaku siang tadi. Masih jelas terngiang di telingaku pertanyaan yang diajukan oleh Terbang. Kehairanan dan berbaur kesal.


”Mengapa Batin halau Encik Hassan dan orang-orang dari pejabat tanah itu?”


”Habis, kamu mahu aku berdiam diri sahaja? Ikut sahaja telunjuk mereka, begitu?“ Aku mula tidak puas hati.


”Bukan macam itu. Aku faham, tetapi bukankah Encik Hassan datang dengan cara yang baik?” Soal Terbang lembut.


”Baik? Macam itu, baik kata kamu? Kamu tengoklah sikap kawannya tadi. Dia kata tindakan aku boleh menghalang kemajuan negara. Boleh menyebabkan kaum kita terus hidup dalam kemunduran. Ketinggalan zaman. Lebih sakit hati aku apabila dia kata aku tiada hak ke atas tanah ini!” Aku mula meninggikan suara. Marah benar rasanya.


”Sebenarnya Batin sudah salah faham,” ujar Terbang lagi.


”Aku salah faham? Dia yang tidak faham! Tanah ini ayah aku yang teroka. Ayah kamu pun sama. Kamu ingat begitu senang orang lain hendak ambil? Aku tidak akan membiarkan perkara ini berlaku. Kamu suruh sahaja mereka balik. Sebelum darah aku naik, lebih baik kamu suruh mereka balik sekarang juga. Pergi balik! Balik!”


Apa sudah jadi dengan Terbang? Sudah butakah hatinya untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Tidak mungkin Terbang tidak dengar apa yang diperkatakan. Dia duduk betul-betul di belakang aku. Mana mungkin. Atau dia sengaja buat-buat tidak dengar. Boleh jadi!


Sambungan...

Wednesday, December 31, 2008

OBSESI : Bab 4

Malam mula merangkak sepi. Sesekali terdengar jeritan cengkerik memecah kesunyian malam. Di selang seli dengan laungan ungka yang bagaikan ternampak sesuatu. Juga tangisan bayi yang terganggu lenanya dek bahang panas malam. Dicelah-celah dedaun rambutan yang ditumpahi warna kelam malam, berselerakan rumah-rumah yang hanya diterangi cahaya pelita. Jelas kelihatan dari celahan dinding bertam dan serdang yang disusun jarang-jarang.


Yok Ben, cucu lelaki aku masih belum pulang. Semasa aku pelawa dia tinggal bersama, kelihatan dia gembira sangat. Aku kasihankan dia. Sebenarnya dia rungsing tinggal di rumah sendiri. Rumah kecil. Adik beradik pula ramai. Tiga belas kesemuanya. Itu belum dikira yang di dalam perut emaknya lagi. Sementelahan pula aku tinggal seorang diri.


Biasanya pada waktu-waktu begini, dia tidak akan berada di rumah. Belum tiba masanya lagi. Semalam, dia ada berkata hendak mengikut anak bujang Terbang ke Kuala Lumpur. Cari kerja. Aku tidak kisah sangat. Tetapi aku sedikit bimbang. Bimbang jika dia kena tipu. Kena ejek. Kena buli! Dedai selalu kata macam itu.


Dedai kata, bangsa kami tidak akan sesuai dengan suasana sebegitu. Lagipun, jika sekadar hendak mencari duit, di sini pun boleh. Pokok petai masih banyak. Pokok rotan dan kayu gaharu juga masih banyak. Kalau hendak seribu daya. Kalau tidak, di mana-mana pun tidak akan ada. Katanya lagi, jika semua anak muda di kampung ini seperti Yok Ben atau macam anak bujang Terbang, siapa lagi yang tinggal untuk meneruskan tradisi ini. Tradisi turun temurun! Betul juga kata Dedai itu.


Aku pun hairan, dalam sekelip mata sahaja Yok Ben sudah petah membicarakan soal perubahan. Begitu kuat benar kesan tusukan jarum yang dimainkan oleh anak bujang Terbang itu nampaknya. Sehinggakan Yok Ben yang tidak pernah ambil tahu tentang dunia luar, kini sudah pandai bercerita tentangnya.


Rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. Tiba-tiba ingatanku beralih kepada kejadian yang berlaku siang tadi. Masih jelas terngiang di telingaku pertanyaan yang diajukan oleh Terbang. Kehairanan dan berbaur kesal.

Friday, December 12, 2008

OBSESI : Bab 3

Tidak lama kemudian, ayah sendiri yang meninggal. Meninggal semasa mencangkung di atas batu ketika hendak mandi pagi. Emak kata ayah ditekan oleh hantu dari belakang sehingga lemas. Hantu Yok Sot! Berbulan lamanya kami tidak menggunakan sungai itu. Tetapi, sehari sebelum kejadian ayah ada berpesan. Katanya, tidak perlu lagi berpindah-randah sekalipun berlaku kematian selepas ini. Kuburkan sahaja jauh-jauh. Lagipun tanah di sini subur. Sesuai sangat untuk bercucuk tanam. Elok benar untuk penempatan. Kami terpaksa akur. Bukankah kata Batin mesti diikut? Aku akui, kata ayah sememangnya betul. Kawasan di sini memang pun subur. Hasil-hasil tanaman tidak pernah mengecewakan. Penduduk pun semakin ramai. Begitu pesat, subur juga!


Dahulu aku tidak kisah langsung tentang masa depan kampung ini. Ketika itu aku hanya sibuk melayan zaman remajaku. Yok Pis, Yok Aleng dan Yok Nun merupakan teman sepermainanku. Kami selalu bersama-sama. Menjala ikan, melastik burung, mencari petai pun bersama-sama. Sehinggakan aku tidak peduli langsung dengan dunia luar.


Aku cuma ada terdengar orang Melayu di kampung hujung sana kata yang negara sudah merdeka. Negara sudah bebas. Kata mereka lagi, orang putih sudah balik ke negara asal mereka. Itulah yang aku dengar ketika terserempak dengan mereka semasa mencari petai.Orang putih atau orang hitam, itu aku tidak peduli. Kami lebih selesa tinggal di dalam hutan ini. Damai dan tenang. Dunia kami di sini. Dunia aku memang di sini!


Masa begitu pantas berlalu. Seorang demi seorang sahabat aku meninggal dunia. Hanya aku yang tinggal menyaksikan perubahan di kampung ini. Banyak perubahan. Anak-anak buah aku pun sudah pandai berbasikal dan bermotorsikal. Sudah banyak duit agaknya.


Menurut Terbang ini semua sudah menjadi keperluan. Negara sudah maju. Kita semua pun mesti ikut maju. Untuk lebih maju kita semua perlu bergerak pantas. Nanti jauh tertinggal. Encik Hassan, pegawai JHEOA pun kata begitu.


”Untuk maju, adakalanya kita terpaksa berkorban sedikit. Korbankan apa yang kita sayang selama ini.”


Tetapi, Dedai kata lain. Dedai kata, Encik Hassan penipu. Encik Hassan dibayar. Kemudian bayar pula kepada Terbang untuk menipu aku dan orang-orang kampung. Aku tidak sangka bahawa Terbang sanggup khianati aku. Khianati orang-orang kampung dan bangsanya sendiri! Tetapi mengapa tidak? Jika sudah dibayar, jika sudah ada perjanjian, apa sahaja sanggup dibuat. Nasib baik Dedai sedar.



Malam mula merangkak sepi. Sesekali terdengar jeritan cengkerik memecah kesunyian malam. Di selang seli dengan laungan ungka yang bagaikan ternampak sesuatu...

Thursday, December 11, 2008

OBSESI : Bab 2

Malam ini lain benar panasnya. Panas semacam. Menurut kata orang dahulu kala, itu petanda hujan akan turun. Bahkan memang ada betulnya. Bagi aku, hujan pun hujanlah! Hujan atau tidak, aku tetap seperti ini. Aku bukannya bekerja menoreh getah. Kerja memanjat petai pun bukan. Tetapi, kalau boleh jangan hujan. Kasihan pada anak-anak buah aku yang bekerja mengampil upah menoreh getah di belakang bukit sana. Lagipun hendak bergantung kepada hasil jualan petai semata-mata, mana mungkin mencukupi. Tambahan pula, musimnya baru sahaja berlalu. Ini bermakna lebih kurang setahun lagi mereka terpaksa menunggu.

Telah lama aku tinggal di sini. Terlalu lama. Semenjak kami tidak lagi hidup secara nomad. Hidup berpindah randah. Lebih kurang empat puluh tahun yang lalu. Ketika itu aku masih lagi muda remaja. Pertengahan remaja sebenarnya. Aku sempat mengikuti cara hidup berpindah-randah. Sempat dua kali. Mula-mula kami berpindah ekoran kematian Han Lubi. Meninggal semasa bersalin. Anak yang kedua, jika aku tidak tersilap. Anaknya pun meninggal sama.

Ayah aku kata, kami semua mesti berpindah. Takut nanti nyanic kicmoc mengganggu. Nyanik kicmoc itu berasal daripada manusia yang telah meninggal dunia. Nyanik kicmoc itu samalah dengan hantu. Bagaimana kalau hantu Han Lubi mengganggu? Itu sebab kami mesti pindah. Semasa itu ayah jadi Batin. Kata Batin semestinya diikuti.Maka kami pun berpindah. Selepas itu, selang setahun Yok Sot pula meninggal dunia. Yok Sot adalah suami Han Lubi. Agaknya hantu Han Lubi sempat ikut. Sekali lagi kami terpaksa berpindah.

Tidak lama kemudian, ayah sendiri yang meninggal...

OBSESI : Bab 1

Cerpen yang memenangi Hadiah Saguhati Peraduan Menulis Cerpen Peringkat Umum Formula Malaysia 2000.

“Pergi balik! Balik!”


“Saya fikir, lebih baik Encik Hassan balik dahulu. Bila sudah reda nanti, saya akan beritahu encik,” rayu Terbang sambil ekor matanya tepat ke mukaku.


Terbang kata, aku tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Aku tahu. Sememangnya aku tidak pernah bersikap sedemikian. Sebelum ini. Tetapi petang tadi lain. Amarahku lain. Resah aku lain! Terbang kata lagi aku terlalu emosional. Aku pun tidak faham makna perkataan yang disebutkan oleh Terbang itu. Dia kata aku terlalu mengikut perasaan. Terlalu mengikut kata hati. Ketepikan rasional. Rasional? Apa itu rasional? Sekali lagi aku tidak faham apa yang diucapkannya. Kalau Barisan Nasional, aku memang tahu sangat. Dia kata aku ketepikan alasan munasabah yang mendasari sesuati tindakan. Aku telah membelakangkan pertimbangan yang wajar. Benarkah begitu? Entahlah!


Sambungnya lagi, tindakan aku boleh dipertikaikan. Boleh memudaratkan. Dan boleh memecahbelahkan. Aku jadi bingung. Bingung sebingung-bingungnya. Memang benar, tetamu yang datang tidak boleh dihalau. Tidak boleh disakiti hati mereka. Nenek moyang kami selalu berpesan, tetamu mesti dilayan. Musuh yang datang pun sepatutnya perlu dilayan terlebih dahulu. Dilayan dengan baik. Itu aku tahu. Tetapi mereka bukan tetamu. Musuh juga bukan. Mereka adalah pengacau. Mereka pengacau? Siapa kata?


”Aku datang sebenarnya hendak berjumpa dengan Batin. Aku dengar Batin halau balik Encik Hassan siang tadi. Baguslah kalau macam itu. Mereka ingat kita semua ini bodoh? Kita semua boleh dijual beli? Boleh dicucuk hidung begitu sahaja? Nasib baik aku tiada di sini tadi. Kalau aku ada, aku ajar-ajar mereka semua. Mereka itu pengacau!”


”Bagaimana isteri kamu Dedai? Sudah bersalin?”


”Sudah Batin. Anak perempuan. Aku agak, esok lusa baru boleh keluar hospital. Err, aku balik dulu Batin. Pagi esok aku hendak ke hospital lagi,” pinta Dedai setelah menyedari bahawa aku seakan tidak berminat membicarakan kisah siang tadi.


Malam ini lain benar panasnya...

Tuesday, June 24, 2008

Obsesi : Cerpen yang memenangi hadiah saguhati Peraduan Menulis Cerpen Peringkat Umum Formula Malaysia 2000

“Kata Batin itu memang betul. Cuma, Batin pun boleh lihat sendiri. Dahulu dan sekarang seperti tiada perbezaan dalam kehidupan kita. Masyarakat kita tetap macam dahulu. Tiada kemajuan. Masih ditakuk yang lama. Apabila orang lain kata kita masih mundur, kita marah. Kemudian kita akan pujuk hati kita dengan berkata bahawa ini sudah suratan takdir. Sudah ditakdirkan dalam kehidupan kita, bukannya boleh diubah-ubah. Tidak mungkin berubah dan tidak sesekali akan berubah!”

“Jadi, kamu yakin bahawa masyarakat kita sebenarnya boleh berubah? Boleh maju?”


Mampukah Terbang memujuk Batin yang terlalu obses pada kampung halamannya? Adakah semudah itu laluan yang ditempuh oleh Terbang apatah lagi setelah digelar talibarut kerajaan oleh Dedai? Semuanya hanya terjawab dalam cerpen “Obsesi” yang mengupas kehidupan masyarakat Orang Asli dan penerimaan mereka terhadap projek pembangunan yang melibatkan tanah kampung halaman.