Followers

Thursday, December 11, 2008

OBSESI : Bab 2

Malam ini lain benar panasnya. Panas semacam. Menurut kata orang dahulu kala, itu petanda hujan akan turun. Bahkan memang ada betulnya. Bagi aku, hujan pun hujanlah! Hujan atau tidak, aku tetap seperti ini. Aku bukannya bekerja menoreh getah. Kerja memanjat petai pun bukan. Tetapi, kalau boleh jangan hujan. Kasihan pada anak-anak buah aku yang bekerja mengampil upah menoreh getah di belakang bukit sana. Lagipun hendak bergantung kepada hasil jualan petai semata-mata, mana mungkin mencukupi. Tambahan pula, musimnya baru sahaja berlalu. Ini bermakna lebih kurang setahun lagi mereka terpaksa menunggu.

Telah lama aku tinggal di sini. Terlalu lama. Semenjak kami tidak lagi hidup secara nomad. Hidup berpindah randah. Lebih kurang empat puluh tahun yang lalu. Ketika itu aku masih lagi muda remaja. Pertengahan remaja sebenarnya. Aku sempat mengikuti cara hidup berpindah-randah. Sempat dua kali. Mula-mula kami berpindah ekoran kematian Han Lubi. Meninggal semasa bersalin. Anak yang kedua, jika aku tidak tersilap. Anaknya pun meninggal sama.

Ayah aku kata, kami semua mesti berpindah. Takut nanti nyanic kicmoc mengganggu. Nyanik kicmoc itu berasal daripada manusia yang telah meninggal dunia. Nyanik kicmoc itu samalah dengan hantu. Bagaimana kalau hantu Han Lubi mengganggu? Itu sebab kami mesti pindah. Semasa itu ayah jadi Batin. Kata Batin semestinya diikuti.Maka kami pun berpindah. Selepas itu, selang setahun Yok Sot pula meninggal dunia. Yok Sot adalah suami Han Lubi. Agaknya hantu Han Lubi sempat ikut. Sekali lagi kami terpaksa berpindah.

Tidak lama kemudian, ayah sendiri yang meninggal...

OBSESI : Bab 1

Cerpen yang memenangi Hadiah Saguhati Peraduan Menulis Cerpen Peringkat Umum Formula Malaysia 2000.

“Pergi balik! Balik!”


“Saya fikir, lebih baik Encik Hassan balik dahulu. Bila sudah reda nanti, saya akan beritahu encik,” rayu Terbang sambil ekor matanya tepat ke mukaku.


Terbang kata, aku tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Aku tahu. Sememangnya aku tidak pernah bersikap sedemikian. Sebelum ini. Tetapi petang tadi lain. Amarahku lain. Resah aku lain! Terbang kata lagi aku terlalu emosional. Aku pun tidak faham makna perkataan yang disebutkan oleh Terbang itu. Dia kata aku terlalu mengikut perasaan. Terlalu mengikut kata hati. Ketepikan rasional. Rasional? Apa itu rasional? Sekali lagi aku tidak faham apa yang diucapkannya. Kalau Barisan Nasional, aku memang tahu sangat. Dia kata aku ketepikan alasan munasabah yang mendasari sesuati tindakan. Aku telah membelakangkan pertimbangan yang wajar. Benarkah begitu? Entahlah!


Sambungnya lagi, tindakan aku boleh dipertikaikan. Boleh memudaratkan. Dan boleh memecahbelahkan. Aku jadi bingung. Bingung sebingung-bingungnya. Memang benar, tetamu yang datang tidak boleh dihalau. Tidak boleh disakiti hati mereka. Nenek moyang kami selalu berpesan, tetamu mesti dilayan. Musuh yang datang pun sepatutnya perlu dilayan terlebih dahulu. Dilayan dengan baik. Itu aku tahu. Tetapi mereka bukan tetamu. Musuh juga bukan. Mereka adalah pengacau. Mereka pengacau? Siapa kata?


”Aku datang sebenarnya hendak berjumpa dengan Batin. Aku dengar Batin halau balik Encik Hassan siang tadi. Baguslah kalau macam itu. Mereka ingat kita semua ini bodoh? Kita semua boleh dijual beli? Boleh dicucuk hidung begitu sahaja? Nasib baik aku tiada di sini tadi. Kalau aku ada, aku ajar-ajar mereka semua. Mereka itu pengacau!”


”Bagaimana isteri kamu Dedai? Sudah bersalin?”


”Sudah Batin. Anak perempuan. Aku agak, esok lusa baru boleh keluar hospital. Err, aku balik dulu Batin. Pagi esok aku hendak ke hospital lagi,” pinta Dedai setelah menyedari bahawa aku seakan tidak berminat membicarakan kisah siang tadi.


Malam ini lain benar panasnya...

Wednesday, December 10, 2008

PALAPES UPSI: TERIMA KASIH DAUN KELADI

Tahun ni merupakan tahun ketiga aku melibatkan diri dengan Program Ibadah Qurban dan Aqiqah di Behrang 2020. Untuk kali ketiganya jugalah aku ditugaskan untuk menimbang daging-daging tersebut sebelum diedarkan kepada penduduk. Cuma tahun ini pangkat "naik sikit"!

Tahun pertama aku di Behrang 2020, 4 ekor lembu ditumbangkan, tahun lepas sebanyak 7 ekor lembu dan tahun ini 13 ekor kesemuanya. Cuma 3 ekor diuruskan oleh kumpulan lain manakala 10 ekor lagi oleh kumpulan Mr. Shah and the gang dan aku "masuk" dalam kumpulan yang ini...ada sedikit salah komunikasi dan aku harap tahun depan "kembali senyum!"

Petang Ahad, seekor lembu untuk tujuan aqiqah disembelih dan pada malamnya ada kenduri. Terima kasih kat kakak-kakak yang bersusah payah menyediakan makanan malam tu...dan juga tuan 3 buah rumah (brader Khairul, brader Rishi dan brader Zurymee) yang "mengorbankan" rumah masing-masing sebagai port... susah-susah je! Memang seronok sebab wujud suasana kampung, bergotong royong memasak lemang, sup dan sebagainya. Siap ada skrin besar untuk "tayangan tengah malam" khusus untuk menemankan brader "penjaga lembu" di bawah kelolaan Ustaz Syed Zamzuri. Inilah istimewanya Bandar Behrang 2020!!!

Meriahnya tahun ini kami turut dibantu oleh kira-kira 200 orang anggota PALAPES UPSI (angka sebenar tak pasti tapi memang ramai daaa...) ! Dorang ni la yang bertungkus lumus buat kerja: bantu tumbangkan lembu, lapah, potong daging, potong tulang, timbang (sudahnya aku dok tengok dorang je la), basuh pinggan dsb...meriah sangat-sangat. Program selesai dalam masa kurang lebih 4 jam. Brader Rishi dan brader Rasdan, tabik spring laaa! Terima kasih daun keladi...tahun depan sudi-sudikan bantu lagi...Mr. Shah kalau nak stok panadol...ada banyak brader...jangan risau!

DUN: ASTRO boleh bayar tiap-tiap bulan...ermm apalah sangat Ibadah Qurban ni kan kalo bayar tiap-tiap bulan...kan? Kepada sesiapa yang ada gambar program ini dialu-alukan menghantar melalui emel atau apa-apa sahaja kaedah yang sewaktu dengannya.

Tuesday, December 2, 2008

Membantu Sekadar Mampu

Gambar Hiasan

Hari Sabtu yang lepas aku terima panggilan daripada bro Azlanlin yang ketika itu berada di FELDA Sg. Behrang...mencari rumah sewa katanya sambil "mengintai" keadaan sekolah tempat mem besor dia akan mengajar...ermm...bagus punya suami! Sedikit lewat kerana ketika itu aku baru sahaja pulang dari Sg. Behrang...biasala aktiviti rutin aku setiap minggu...

Oleh kerana aku yakin bro ni takkan diculik atau diapa-apakan, aku bagi peluang kepadanya untuk "berkenalan" sendiri dengan persekitaran FELDA kesayanganku ini. Lewat petang aku terima lagi panggilan yang mengatakan bro Azlan berada di Behrang 2020. Ketika itu aku sedang berurusan di kaunter pembayaran Pasaraya TF : Pasaraya terbesar di daerah Batang Padang ( tak de share k!)

Hanya berpandukan kereta kancil "kaler" hitam seperti yang diberitahu, akhirnya kami berjumpa di persimpangan keluar pasaraya TF. Seperti suara-suara di dalam blog, begitulah orangnya...cekal, tabah, berani dan mesra...baru je kenal, macam dah kenal lama...

Keterbatasan waktu membuatkan aku tak dapat membantu sangat untuk mencari rumah sewa...dan kami sepakat untuk meneruskan pencarian keesokan harinya. Tapi bro Azlan ni memang jenis tak duduk diam...keesokan harinya dia mencari dan mencari di sekitar Tanjong Malim sebelum kami berjanji untuk bertemu...dan akhirnya pencarian yang berhasil...syabas bro!

Walaupun selepas itu kami tak berjumpa dah...hanya bercakap melalui telefon...insya Allah lepas ni leh jumpa lagi...apapun Selamat Datang Ke Tanjong Malim!

DUN: Ada yang tanya camner leh kenal ngan bro Azlan ni...hehehe!

Rakit Batang Pisang

Gambar Hiasan

Masih dalam mood cuti sekolah walaupun aku sebenarnya tak cuti pun sejak tukar "aliran" ni...maka terbayanglah kisah silam zaman kanak-kanak...antaranya bermain rakit batang pisang di sungai berhampiran rumah emak. Seronok sangat!

Bila terpandang anak-anak yang tidak merasai kenangan sebegini, kesian la pulak...tapi nak buat camne...sungai kat rumah emak pun dah hampir kering airnya...pokok pisang hutan tu mungkin banyak lagi...

Apapun aku bercadang nak berpakat dengan abang-abang dan jiran-jiran untuk turun ke sungai tu sambil "mengemaskini" laluan mana yang patut sementara cuti sekolah masih berbaki sebulan lagi ni...bagi dorang rasa pengalaman yang aku rasa suatu ketika dahulu...

DUN: Cewah, macam le aku ni ada banyak masa...hehehe!