Tidak lama kemudian, ayah sendiri yang meninggal. Meninggal semasa mencangkung di atas batu ketika hendak mandi pagi. Emak kata ayah ditekan oleh hantu dari belakang sehingga lemas. Hantu Yok Sot! Berbulan lamanya kami tidak menggunakan sungai itu. Tetapi, sehari sebelum kejadian ayah ada berpesan. Katanya, tidak perlu lagi berpindah-randah sekalipun berlaku kematian selepas ini. Kuburkan sahaja jauh-jauh. Lagipun tanah di sini subur. Sesuai sangat untuk bercucuk tanam. Elok benar untuk penempatan. Kami terpaksa akur. Bukankah kata Batin mesti diikut? Aku akui, kata ayah sememangnya betul. Kawasan di sini memang pun subur. Hasil-hasil tanaman tidak pernah mengecewakan. Penduduk pun semakin ramai. Begitu pesat, subur juga!
Dahulu aku tidak kisah langsung tentang masa depan kampung ini. Ketika itu aku hanya sibuk melayan zaman remajaku. Yok Pis, Yok Aleng dan Yok Nun merupakan teman sepermainanku. Kami selalu bersama-sama. Menjala ikan, melastik burung, mencari petai pun bersama-sama. Sehinggakan aku tidak peduli langsung dengan dunia luar.
Aku cuma ada terdengar orang Melayu di kampung hujung sana kata yang negara sudah merdeka. Negara sudah bebas. Kata mereka lagi, orang putih sudah balik ke negara asal mereka. Itulah yang aku dengar ketika terserempak dengan mereka semasa mencari petai.Orang putih atau orang hitam, itu aku tidak peduli. Kami lebih selesa tinggal di dalam hutan ini. Damai dan tenang. Dunia kami di sini. Dunia aku memang di sini!
Masa begitu pantas berlalu. Seorang demi seorang sahabat aku meninggal dunia. Hanya aku yang tinggal menyaksikan perubahan di kampung ini. Banyak perubahan. Anak-anak buah aku pun sudah pandai berbasikal dan bermotorsikal. Sudah banyak duit agaknya.
Menurut Terbang ini semua sudah menjadi keperluan. Negara sudah maju. Kita semua pun mesti ikut maju. Untuk lebih maju kita semua perlu bergerak pantas. Nanti jauh tertinggal. Encik Hassan, pegawai JHEOA pun kata begitu.
”Untuk maju, adakalanya kita terpaksa berkorban sedikit. Korbankan apa yang kita sayang selama ini.”
Tetapi, Dedai kata lain. Dedai kata, Encik Hassan penipu. Encik Hassan dibayar. Kemudian bayar pula kepada Terbang untuk menipu aku dan orang-orang kampung. Aku tidak sangka bahawa Terbang sanggup khianati aku. Khianati orang-orang kampung dan bangsanya sendiri! Tetapi mengapa tidak? Jika sudah dibayar, jika sudah ada perjanjian, apa sahaja sanggup dibuat. Nasib baik Dedai sedar.
Malam mula merangkak sepi. Sesekali terdengar jeritan cengkerik memecah kesunyian malam. Di selang seli dengan laungan ungka yang bagaikan ternampak sesuatu...
0 comments:
Post a Comment