Followers

Wednesday, December 31, 2008

OBSESI : Bab 4

Malam mula merangkak sepi. Sesekali terdengar jeritan cengkerik memecah kesunyian malam. Di selang seli dengan laungan ungka yang bagaikan ternampak sesuatu. Juga tangisan bayi yang terganggu lenanya dek bahang panas malam. Dicelah-celah dedaun rambutan yang ditumpahi warna kelam malam, berselerakan rumah-rumah yang hanya diterangi cahaya pelita. Jelas kelihatan dari celahan dinding bertam dan serdang yang disusun jarang-jarang.


Yok Ben, cucu lelaki aku masih belum pulang. Semasa aku pelawa dia tinggal bersama, kelihatan dia gembira sangat. Aku kasihankan dia. Sebenarnya dia rungsing tinggal di rumah sendiri. Rumah kecil. Adik beradik pula ramai. Tiga belas kesemuanya. Itu belum dikira yang di dalam perut emaknya lagi. Sementelahan pula aku tinggal seorang diri.


Biasanya pada waktu-waktu begini, dia tidak akan berada di rumah. Belum tiba masanya lagi. Semalam, dia ada berkata hendak mengikut anak bujang Terbang ke Kuala Lumpur. Cari kerja. Aku tidak kisah sangat. Tetapi aku sedikit bimbang. Bimbang jika dia kena tipu. Kena ejek. Kena buli! Dedai selalu kata macam itu.


Dedai kata, bangsa kami tidak akan sesuai dengan suasana sebegitu. Lagipun, jika sekadar hendak mencari duit, di sini pun boleh. Pokok petai masih banyak. Pokok rotan dan kayu gaharu juga masih banyak. Kalau hendak seribu daya. Kalau tidak, di mana-mana pun tidak akan ada. Katanya lagi, jika semua anak muda di kampung ini seperti Yok Ben atau macam anak bujang Terbang, siapa lagi yang tinggal untuk meneruskan tradisi ini. Tradisi turun temurun! Betul juga kata Dedai itu.


Aku pun hairan, dalam sekelip mata sahaja Yok Ben sudah petah membicarakan soal perubahan. Begitu kuat benar kesan tusukan jarum yang dimainkan oleh anak bujang Terbang itu nampaknya. Sehinggakan Yok Ben yang tidak pernah ambil tahu tentang dunia luar, kini sudah pandai bercerita tentangnya.


Rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. Tiba-tiba ingatanku beralih kepada kejadian yang berlaku siang tadi. Masih jelas terngiang di telingaku pertanyaan yang diajukan oleh Terbang. Kehairanan dan berbaur kesal.

1 comments:

sonata anak kancil said...

tak sempat nak baca...nak kena buat rekod book da...